IPOH – Kopi Putih Ipoh telah menduduki tempat ke-10 daripada senarai 39 kopi terbaik dunia yang disenaraikan oleh laman web TasteAtlas.
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, penilaian jenis kopi ini dibuat berdasarkan maklum balas pengguna TasteAtlas.
Beliau menjelaskan bahawa laman web itu menggunakan beberapa mekanisme yang mengiktiraf penilaian pengguna sebenar dan mengelakkan penilaian yang dihasilkan oleh bot, serta pengaruh nasionalisme atau patriotisme tempatan.
“Laman web ini menyenaraikan Ipoh White Coffee sebagai salah satu produk kopi yang popular di peringkat global.”
“Minuman itu berada di kedudukan ke-10 dalam senarai 39 Kopi Terbaik Di Dunia yang diterbitkan pada 15 Mac lalu.
“Kopi yang menduduki tempat pertama dalam senarai itu ialah Espresso Freddo dari Greece, yang merupakan gabungan espresso dengan ais, menghasilkan minuman kopi yang sedikit sejuk dan berkrim,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April yang diadakan di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh, di sini pada Khamis.
Beliau menambah, antara jenis kopi lain yang berada dalam kedudukan 10 teratas adalah Espresso Freddo (Greece), Café Cubano (Cuba), Indian Filter Coffee (India), Freddo Cappuccino (Greece), dan Café Bombon (Sepanyol).
Turut tersenarai adalah Cappuccino (Itali), Turkish Coffee (Turki), Ristretto (Itali), dan Frappe Coffee (Greece).
Senarai 30 Kopi Terbaik di Dunia telah menerima sejumlah 3,878 penilaian, tetapi hanya 2,559 daripadanya yang diakui sebagai sah oleh sistem.
“TasteAtlas menyatakan bahawa tujuan senarai ini adalah untuk mempromosikan makanan tempatan yang berkualiti, menanam rasa bangga terhadap hidangan tradisional, dan membangkitkan minat terhadap hidangan yang belum pernah dicuba oleh sesetengah orang.
“Menurut sumber dari Asian Inspiration, Ipoh White Coffee berasal dari Ipoh, Malaysia, di mana biji kopinya dipanggang dalam marjerin sebelum dikisar dan dibancuh, memberikan rasa kopi yang lebih lembut dan berkaramel,” jelasnya.
Rumaizi menambah bahawa minuman ini biasanya disajikan dengan susu pekat dan sedikit buih ringan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Ipoh White Coffee tidak sama dengan white coffee yang lain, yang merujuk kepada kopi yang disajikan dengan susu atau krimer tambahan.
Untuk dapatkan White Coffee boleh tengok sini: https://s.shopee.com.my/7AHDGFAene
Layari dan Subscribe Channel YouTube iCookAsia untuk pelbagai resepi yang menarik – https://www.youtube.com/c/iCookAsiaChannel/videos
Ikuti Channel Telegram kami untuk resepi, peraduan dan pelbagai aktiviti terkini yang menarik – https://t.me/icookasiacommunity