fbpx

Malaysia Culinary World Cup Cuba Mencipta Rekod Untuk Pertandingan Memasak Antarabangsa Terbesar Di Dunia

iCookAsia

MENJELANG Februari tahun depan, Malaysia akan menjadi tumpuan komuniti gastronomi global sempena pertandingan Memasak Antarabangsa Terbesar di Dunia daripada Guinness World Book of Records yang julung kali diadakan bersama lebih 500 peserta dari pelbagai negara.

Diadakan dengan tujuan mengharumkan masakan negara yang mashyur di persada dunia, pihak penganjur Pertubuhan Kulinari Malaysia Bersatu (Malaysia Bersatu Culinary Association-MBCA) akan mengadakan pertandingan ini yang diberi nama Piala Kulinari Malaysia Sedunia (Malaysia Culinary World Cup) dari 21 hingga 23 Februari 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Lebih 15,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa dijangka hadir semasa pertandingan tiga hari ini.

Pengerusi Penganjur dan Presiden Cef MBCA Arthur Lim, bekas Cef Hotel 5 Bintang, berkata visi persatuan itu adalah untuk mempromosikan makanan dan budaya Malaysia dan menempatkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan makanan terbaik di dunia.

“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian makanan yang enak dari penduduk berbilang etnik yang kaya dengan perayaan masing masing. Salah satu komponen terpenting dalam budaya Malaysia ialah makanan, dan kami ingin memperkenalkan budaya unik ini kepada dunia,” kata Cef Lim lagi.

Beliau juga berkata persatuan itu juga berharap untuk mencari bakat baru dengan menggalakkan dan memberi inspirasi kepada cef dan pakar kek dan pastri yang bersemangat untuk bermimpi besar.

“Di Malaysia, kami mempunyai ramai cef yang hebat dan juga ‘home cooks’ yang tidak kurang hebat juga. Saya tidak akan berasa hairan jika beberapa ‘home cooks’ dan ‘home bakers’ memenangi pingat emas,” tambah Cef Lim.

Dalam memenuhi hasrat untuk mencari bakat baru ini, pihak penganjur jugak telah melantik tukang masak amatur Marcus Teoh sebagai duta pertandingan berikutan kejayaannya dalam mewujudkan komuniti ‘home cooks’ dan ‘bakers’ dalam talian. Beliau juga telah membantu ahli komuniti ini untuk menjana pendapatan dan keuntungan daripada minat memasak mereka.

Cef Lim juga berkata bahawa pertandingan ini juga akan memberi platform kepada industri makanan dan minuman untuk bersuai kenal dan membuka peluang perniagaan dengan pelanggan dan pihak berkepentingan merentasi sempadan.

“Satu lagi visi kami adalah untuk membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) membangunkan hubungan Perniagaan ke Perniagaan (B2B) dengan kadar segera dengan pelanggan baharu. PKS adalah salah satu penyumbang ekonomi utama kepada negara kita, dan kami mahu menyediakan ruang untuk mereka menerokai potensi pasaran luar negara,” tambahnya.

Peserta pertandingan ini akan berkesempatan untuk menimba ilmu daripada lebih 100 cef tempatan dan antarabangsa yang akan ditugaskan untuk mengadili 64 kategori dalam pertandingan itu. Terdapat hakim dari Sweden, Itali, United Kingdom, Mesir, Maghribi, Korea, Mexico termasuk negara jiran.

Cef antarabangsa yang terkenal termasuk Presiden Dunia Kesatuan Bakeri dan Konfeksi Antarabangsa, Gunther Koerffer dari Sweden, Persatuan Cef Sedunia – Hakim Antarabangsa Montaser Mohemed Masoud dari Mesir dan Cef Bintang Michelin Vedat Gokcen dari Belgium.

Malaysia akan diwakili oleh cef tempatan yang terkenal, Master Cef Itali Malaysia yang diiktiraf oleh Kerajaan Itali, Azizan Shukri, Cef Veteran Warisan Nyonya, Amy Beh dan Ketua Pegawai Operasi KL TOWER 360, Cef Dato Ringo Khaw.

Para pengunjung juga akan dapat menikmati juadah yang disediakan oleh peserta pertandingan yang terdiri daripada cef professional, pelajar institusi kulinari dan bakeri, serta ‘home cooks dan bakers’. Pertandingan sedunia ini juga meyokong konsep “sifar sisa,”. Oleh itu semua makanan yang disediakan semasa acara ini akan habis dihidangkan tanpa sebarang pembaziran.

Selaras dengan matlamat penganjur untuk mempromosikan masakan tempatan, beberapa hidangan kegemaran Malaysia akan menjadi tumpuan utama dalam beberapa kategori utama, termasuk Gastronomi Malaysia (Nasi lemak, Satay, Masakan Nyonya, Char Kway Teow, Hainanese Chicken Chop), Masakan India, Masakan Cina, Patisserie (Kek perkahwinan, roti pameran, Kuih Malaysia), Masakan Vegetarian, Showmanship (Teh Tarik dan Roti Canai). Selain itu, akan ada lagi kategori menarik iaitu Masakan Jepun dan kategori Seni (ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran).

Pendaftaran kini dibuka sehingga 15 Januari 2023. Peserta boleh mendaftar sehingga lima acara setiap orang/pasukan. Yuran penyertaan ialah RM150/seorang bagi setiap sub-kategori. Setiap acara diadili berdasarkan sistem pemarkahan di mana peserta yang mendapat mata minimum akan menerima pingat. Semua peserta akan menerima sijil penyertaan. Calon yang berminat boleh mendaftar di sini: https://bit.ly/kulinariworldcup23 (Bahasa Melayu)
https://bit.ly/culinaryworldcup23 (English)

Pengusaha dan syarikat yang ingin memperkenalkan produk dan perkhidmatan terkini mereka kepada personaliti dan nama-nama terkemuka dalam industri kulinari dialu-alukan untuk bekerjasama dengan penganjur. Ini termasuk restoran, kafe, bekalan makanan dan ramuan, jenama alat memasak, reka bentuk dapur, set-up dan operations, sektor pelancongan dan hospitaliti, pemasaran dan penjenamaan digital, penyelesaian perisian, sekolah masakan serta jenama yang ingin mendapatkan manfaat dari jumlah pengunjung yang besar, cef terkemuka, dan penggemar makanan yang hadir semasa acara ini dijalankan. Untuk gerai pameran dan pakej penajaan, sila hubungi Qila (+6010-4418825).

Pertandingan ini disokong oleh pelbagai jenama terkenal, termasuk Tecnoinox, GARDENS, COO Induction Cooker, Airasia ride dari Airasia Super App, Angie Designmaker dan Nextdor Property Communications.

Untuk tambahan, iCookAsia merupakan media online rasmi untuk acara yang diadakan ini.

Anda boleh mendaftar di sini:
https://bit.ly/kulinariworldcup23 (Bahasa Melayu)
https://bit.ly/culinaryworldcup23 (English)

Share This Article
Leave a comment
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x